APRIL 2025

Syarikat China Labur RM6 Bilion Dalam Sektor Tenaga Bersih


KUCHING: Sarawak terus menarik minat pelabur dari luar dengan terbaharu China Energy Engineering Investment Corporation Limited (CEEIC).

Ia merancang untuk melabur sebanyak RM6 bilion (USD1.35 bilion) dalam sektor tenaga bersih Sarawak, dengan tumpuan kepada tenaga solar, penyimpanan tenaga melalui bateri dan pembangunan infrastruktur grid di sini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pelaburan dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara InvestSarawak dan CEEIC.

Katanya, perjanjian strategik antara kedua-dua pihak untuk membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar dengan kapasiti mencecah 2 gigawatt (GW), termasuk pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri dan infrastruktur grid sokongan.

Jelas Awang Tengah, Kerajaan Sarawak menyambut baik MoU tersebut memandangkan pelan Sarawak untuk menjana tenaga boleh diperbaharui sebanyak 15GW menjelang 2035.

"Kami mengalu-alukan cadangan projek anda yang melibatkan penjanaan tenaga solar sebanyak 2GW dengan nilai pelaburan yang dicadangkan adalah sebanyak USD1.25 bilion.

"Di bawah kerjasama ini, InvestSarawak bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) akan bekerjasama rapat dengan CEEIC untuk mengenal pasti lokasi projek yang sesuai bagi memudahkan pelaburan yang dicadang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU antara InvestSarawak dan CEEIC di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, beliau menyaksikan Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong dan Ketua Ahli Ekonomi dan Pengurus Besar Jabatan Luar Negara CEEIC He Lei bertukar MoU.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy Berhad & PETROS), Dato Ibrahim Baki; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy, James Ung dan Timbalan Pengurus Besar CEEIC, Wang Honggang.